LONDON – Pengurus Chelsea, Enzo Maresca merasakan pasukannya akan terus berada dalam situasi sukar sekiranya gagal menyempurnakan setiap peluang yang dicipta.
Kegagalan untuk melakukan penyudah lebih baik juga memaksa The Blues berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park kelmarin.
Bagaimanapun, Maresca menjelaskan dengan kualiti persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya, beliau percaya Chelsea lebih berhak untuk mendapatkan tiga mata.
“Saya sentiasa katakan adalah penting untuk mencipta peluang kerana ia akan menunjukkan yang kami melakukan tugas dengan baik. Mungkin juga apa yang kami lakukan kali ini mampu memenangi perlawanan.
“Saya fikir di babak pertama dan kedua kami sudah cukup banyak mencipta peluang untuk memenangi perlawanan. Dalam bola sepak, sesebuah pasukan perlu lebih klinikal,” katanya.
Terdahulu, Cole Palmer membuka jaringan perlawanan selepas menyudahkan gerakan menarik daripada Jadon Sancho pada minit ke-14.
Namun, tempoh 10 minit terakhir menjadi detik kecewa buat Chelsea apabila Palace memperoleh gol penyamaan menerusi Jean-Philippe Mateta pada minit ke-82.
Keputusan itu menyaksikan The Blues hanya meraih dua mata daripada empat perlawanan terakhir dan kini menduduki tangga keempat menerusi 36 mata, satu mengatasi Newcastle United di tempat kelima serta dua dengan pasukan tangga keenam, Manchester City. – AGENSI