BRIGHTON – Peluang Arsenal untuk menamatkan kemarau 20 tahun menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 2004 tampak semakin berliku selepas mencatat keputusan seri ketujuh ketika seri 1-1 dengan Brighton di Stadium Amex awal pagi semalam.
The Gunners ketika ini di tangga kedua dengan 40 mata, cuma lima dibezakan dengan pendahulu liga, Liverpool yang memiliki kelebihan dua perlawanan dalam tangan termasuk aksi menentang Manchester United malam tadi.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berang dan mendakwa ‘tidak pernah’ melihat sepakan penalti dianugerahkan seperti situasi yang dihadapi pasukannya yang menjadi punca mereka tercicir dua mata berharga.
Video Bantuan Pengadil (VAR) mengekalkan keputusan pengadil, Anthony Taylor memberikan sepakan penalti kepada Brighton disebabkan situasi pelanggaran kepala melibatkan Joao Pedro dan pertahanan Arsenal, William Saliba.
Taylor mendakwa Pedro mendapat bola terlebih dahulu sebelum kepalanya ditanduk oleh Saliba yang menyebabkan sepakan penalti sepatutnya diberikan kepada Brighton.
“Kami benar-benar kecewa dengan keputusan ini yang menyebabkan jaringan pihak lawan. Saya tidak pernah melihat sesuatu seperti ini dalam hidup saya kerana dia (Saliba) juga menyentuh bola,” kata Arteta.
Arsenal membuka tirai jaringan menerusi bintang muda berusia 17 tahun, Ethan Nwaneri di separuh masa pertama sebelum Pedro menyempurnakan sepakan penalti kontroversi buat Brighton pada minit ke-61.
Selain tercicir dua mata, Arsenal terus ditimpa malang apabila kehilangan Nwaneri kerana kecederaan otot yang menyebabkan dia digantikan oleh Gabriel Martinelli pada babak kedua. – AGENSI