KOTA BHARU – Dadah dan air ketum dianggarkan bernilai RM120,000 yang dirampas bersama seorang rakyat Malaysia di Sungai Golok, Thailand pada Isnin minggu lalu dipercayai untuk dijual di pasaran negara tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, berdasarkan maklumat, lelaki yang berusia 24 tahun itu merupakan pekerja kepada seorang pengedar dadah yang berasal dari Pulau Pinang, manakala teman wanitanya merupakan warga Laos.
Menurutnya, polis Kelantan ketika ini sedang memeriksa kaedah kemasukan suspek ke Thailand sama ada melalui laluan sah atau pangkalan haram.
“Mengikut maklumat yang diterima, kesemua dadah yang dirampas di Sungai Golok itu untuk dijual bagi pasaran di Thailand dan bukannya akan diseludup ke Kelantan.
“Lelaki terbabit merupakan rakyat Kelantan dan bekerja dengan sindiket pengedaran dadah yang didalangi oleh seorang lelaki di Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpuhan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, siasatan lanjut berhubung kes tersebut sedang dijalanlan oleh pihak polis Thailand.
Kosmo! Online semalam melaporkan, selepas lebih sebulan, seorang lagi rakyat Malaysia dicekup di Sungai Golok, Thailand selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan sindiket pengedaran dadah dan air ketum yang dianggarkan bernilai RM120,000 pada Isnin minggu lalu. – KOSMO! ONLINE