KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan perbicaraan hari pertama kes lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru.
Hakim Norina Zainal Abidin membuat penangguhan tersebut ke hari esok (Selasa) berikutan ketiadaan jurubahasa untuk menterjemah keterangan saksi pendakwaan.
Katanya, pihak mahkamah sedang berusaha mendapatkan khidmat jurubahasa Ibrani bagi memastikan tertuduh dapat memahami keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi pendakwaan.
“Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan jurubahasa Ibrani bagi menterjemahkan keterangan saksi-saksi pendakwaan kepada tertuduh. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat mengesahkan tarikh.
“Oleh itu, saya akan menangguhkan kes ini ke hari esok (Selasa). Namun, sekiranya tiada jurubahasa Ibrani yang tersedia, jurubahasa mahkamah akan menterjemahkan keterangan tersebut dalam bahasa Inggeris yang mudah difahami.
“Jika kamu (tertuduh) tidak memahami apa-apa, sila angkat tangan dan maklumkan kepada mahkamah bahawa kamu tidak faham,” kata hakim itu.
Bagiamanapun, peguam bela yang mewakili tertuduh, Datuk Naran Singh membantah cadangan untuk meneruskan prosiding tanpa kehadiran jurubahasa Ibrani.
“Kami tidak bersetuju sekiranya prosiding diteruskan tanpa jurubahasa Ibrani,” tegasnya.
Norina turut meminta pihak pembelaan supaya membangkitkan semula isu tersebut sekiranya jurubahasa Ibrani masih belum tersedia pada hari berikutnya.
“Sila bangkitkan isu ini sekali lagi esok. Tetapi buat masa ini, kami akan menunggu keputusan mengenai jurubahasa Ibrani. Saya sendiri tidak dapat mengesahkan sama ada jurubahasa Ibrani akan tersedia atau tidak,” katanya.
Pada 27 Mac 2024, lelaki warga Israel itu ditahan bersama enam pucuk pistol jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4, Smith and Wesson, Sig Sauer dan Stoeger bersama 200 butir peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya.
Hasil siasatan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas (SB), mendapati lelaki tersebut memasuki negara ini pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis menerusi penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Terdahulu, Kompleks Mahkamah di sini dikawal ketat oleh pengawal keselamatan susulan kes berkenaan.
Hampir 200 anggota polis turut ditugaskan untuk mengawal laluan masuk utama bagi memastikan keadaan terkawal serta mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian tidak diingini. – KOSMO! ONLINE