BANGKOK – Seorang wanita di Phon Charoen, wilayah Bueng Kan merosakkan harta benda rumah tunangnya kerana berang tidak diberikan mas kahwin sebanyak 150,000 baht (RM20,000) seperti yang diminta, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Wanita dikenali sebagai Wanida, 22, menyelongkar kediaman bakal suaminya, Wasan semalam, selepas lelaki itu hanya bersetuju untuk memberikan mas kahwin sebanyak 50,000 baht (RM6,500).
Dalam keadaan marah, Wanida memecah masuk rumah Wasan dan merosakkan harta benda lelaki itu sehinggakan ada perabot yang patah dan pelbagai barangan pecah.
“Dia memukul saya tetapi saya tidak melawan. Dia masih belum meminta maaf kepada saya dan saya tidak mahu perkara ini menjadi tatapan umum.
“Saya hanya mahu dia membayar ganti rugi atas kerosakan itu, dan mengenai rancangan kami untuk berkahwin, ia masih belum diputuskan,” kata Wasan.
Tambah Wasan, dia sebelum itu bersetuju untuk memberikan mas kahwin sebanyak 50,000 baht tetapi Wanida meminta 150,000 baht.
“Bagaimanapun, perasaan saya terhadap dia tidak berubah,” katanya.
Sementara itu, nenek Wasan, Boonmee berkata, dia merancang untuk membuat laporan polis ke atas Wanida bagi kerosakan yang dibuat ke terhadap cucunya. – AGENSI