SUNGAI PETANI – Bangunan asrama pelajar perempuan Maahad Tahfiz An Nur di Merbok, di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Ismail Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.19 pagi dan seramai 12 anggota dikejarkan ke lokasi berkenaan.
“Setibanya di lokasi, api marak membakar seluruh blok asrama. Tindakan pantas bomba memadam kebakaran berjaya mengawal api dari merebak ke bahagian lain,” katanya hari ini.
Ismail bekata, kebakaran itu menyebabkan kemusnahan 80 peratus, namun tiada mangsa dalam maahad tahfiz berkenaan.
“Pemadaman secara overhaul masih dilakukan ketika ini. Operasi turut dibantu enam anggota BBP Aman Jaya dan Pasukan Bomba Sukarela Bedong,” katanya. – KOSMO! ONLINE