PETALING JAYA – Mata adalah pancaindera paling penting yang telah dianugerahkan kepada setiap manusia.
Namun, kesedaran yang kurang mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mata dan mencegah daripada menjadi buta boleh mengakibatkan hilangnya seseorang individu itu nikmat untuk melihat, sekali gus menjejaskan kualiti kehidupan masing-masing.
Bermatlamat untuk membantu ramai orang dalam menangani masalah penglihatan khususnya yang berkaitan dengan retina mata, Pengasas Amin Eye Specialist Centre, Dr. Amin Ahem berinisiatif untuk membina empayarnya sejak lapan bulan lalu.
Ia dibangunkan bersama rakan niaganya dan memilih Putrajaya sebagai lokasi strategik untuk pembukaan pusat rawatannya kerana ia merupakan kawasan pasaran berpotensi, mudah diakses oleh pelanggan sedia adanya dan boleh menarik minat pelanggan baharu untuk mendapatkan khidmat terbaik dalam bidang kesihatan mata.
“Setelah menamatkan pengajian ijazah perubatan pada tahun 2000, saya memulakan perkhidmatan di hospital milik kerajaan dan kemudiannya beralih menjadi pensyarah perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga akhir tahun 2017.
“Kemudian saya menyertai beberapa pusat rawatan swasta dan sehingga akhirnya saya membuat keputusan untuk membuka pusat rawatan mata sendiri,” katanya kepada Kosmo! dalam satu sesi temu bual di sini baru-baru ini.
Amin menerangkan, bidang Oftalmologi bukanlah minat asal beliau tetapi setelah merawat ramai pesakit, dirinya mula meminati dan tertarik dengan organ mata terutamanya bahagian retina yang merangkumi lapisan saraf yang sangat sensitif, halus dan penting dalam fungsi penglihatan mata.
Pada fasa awal, beliau berdepan dengan cabaran, risiko dan kesukaran untuk membuka sebuah pusat rawatan mata sendiri, namun dengan pengalaman yang dimilikinya itu menjadi kekuatan untuk terus merealisasikan misi besarnya itu.
Isu kos menjadi taruhan utama dalam pelan pembukaan pusat rawatan sulungnya yang komprehensif dilengkapi dengan peralatan teknologi terkini dengan kemudahan rawatan pembedahan mata harian.
“Antara cabaran lain yang saya hadapi semestinya persaingan dengan pusat rawatan mata dan juga hospital swasta lain yang sudah beroperasi sedia ada,” ujarnya.
Amin menerangkan, sepanjang beroperasi, pusat rawatan matanya telah mula menerima peningkatan jumlah bilangan pelanggan bagi pelbagai jenis penyakit mata.
Kebanyakan pelanggannya adalah mereka yang pernah mengenali beliau daripada perkhidmatan terdahulu dan juga pesakit yang baharu mempunyai masalah penglihatan mata.
“Saya ingin menolong lebih ramai orang dan ia merupakan suatu kepuasan apabila dapat membantu merawat organ penting ini sehingga ia sihat kembali,” katanya.
Selain itu, Amin turut menekankan kepentingan menjaga kesihatan diri seperti mengamalkan pemakanan yang sihat dan seimbang supaya tidak terdedah kepada penyakit merbahaya seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi yang boleh menjejaskan kesihatan mata.
Amin menjelaskan, penjagaan retina adalah sangat penting kerana ia terdiri daripada lapisan nipis tisu yang peka cahaya dan tidak dapat diganti jika sudah rosak kekal.
Tambah beliau, pelanggan tidak perlu terlalu bimbang mengenai perkhidmatan rawatan mata terkini kerana ia lebih mudah, tepat dan kurang berisiko serta menggunakan peralatan canggih berteknologi moden.
Pembedahan mata juga dilakukan menggunakan teknik mikrosurgeri dan boleh dilakukan secara rawatan harian tanpa perlu kemasukan wad.
Ini akan meningkatkan hasil rawatan mata dan mempercepatkan proses pemulihan pandangan mereka.
Dalam masa sama, Amin turut memberi cadangan langkah pencegahan kepada penyakit merbahaya ini seperti mengurangkan pengambilan gula, tidak minum minuman beralkohol, mengamalkan hidup dan pengambilan makanan sihat, sentiasa bersenam serta tidak merokok. -KOSMO! ONLINE