Air mata mengiringi kemenangan Zoe Saldana yang tidak mampu menahan sebak apabila menerima trofi pertama Golden Globes selepas 25 tahun berkarier menerusi kemenangan sebagai Pelakon Pembantu Wanita – Filem, pagi ini.
Aktres berusia 46 tahun itu menewaskan Selena Gomez, Ariana Grande, Felicity Jones, Margaret Qualley dan Isabella Rossellini yang bersaing dalam kategori sama bersandarkan aksi cemerlangnya dalam Emilia Perez.
Teruja dapat membawa pulang trofi yang juga pencalonan pertamanya dalam anugerah tersebut, Saldana tidak mampu menyembunyikan perasaan terharu, bahkan turut menzahirkan penghargaan kepada teman gandingannya dalam filem itu.
“Ini merupakan pertama kali saya menang anugerah ini dan saya sangat gembira dapat berkongsi dengan Selena, Karla dan Jacques.
“Saya tahu bahawa ini adalah sebuah pertandingan, namun paling penting kami semua saling menyokong antara satu sama lain,” katanya ketika berucap mengambil trofi.
Naskhah berkisar bekas ketua kartel mendapatkan khidmat peguam lakonan Saldana mendominasi pencalonan terbanyak Golden Globes edisi ke-82 dengan 10 kategori.
Filem itu menjadi calon komedi atau muzikal dengan nominasi terbanyak dalam sejarah Anugerah Golden Globe mengalahkan Nashville pada 1975.
Selain Saldana, filem genre komedi muzikal arahan Jacques Audiard itu turut membariskan Karla Sofía Gascón, Selena Gomez, Adriana Paz, Mark Ivanir dan Édgar Ramírez.
Anugerah Golden Globe yang dikendalikan pelawak Nikki Glaser bersiaran secara langsung dari Hotel The Beverly Hilton, Los Angeles bermula pukul 9 pagi tadi (waktu tempatan). – KOSMO! ONLINE