IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, berkemungkinan telah dilenyek oleh kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai kanan polis ketika perlanggaran berlaku.
Saksi pendakwaan ke-31, Ahmad Noor Syukri Zainal Abidin, 42, dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata, dapatan itu dibuat berdasarkan lokasi Muhammad Zaharif terjatuh di bahagian tengah hadapan Perodua Ativa.
Menurut Ahmad Noor Syukri yang bertugas sebagai Penganalisa Kemalangan Prinsipal dan Ketua Unit Pengoperasian dan Pengurusan Data Kemalangan Miros, motosikal ditunggang mangsa yang berada dalam keadaan terbaring telah terbabas ke arah kanan iaitu arah seberang jalan.
“Perlanggaran pertama di antara Perodua Ativa dan motosikal berlaku di luar lingkungan ‘dashcam’, namun rakaman itu menunjukkan pergerakan sesaran menegak oleh kereta berkenaan sejurus perlanggaran berlaku.
“Berdasarkan lokasi penunggang motosikal jatuh di bahagian tengah hadapan kereta iaitu laluan pergerakan kenderaan tersebut, berkemungkinan Perodua Ativa telah melenyek penunggang motosikal yang jatuh,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Menurut beliau, penyiasatan di kawasan kemalangan telah menemui kesan minyak di bahagian seberang dari titik perlanggaran yang mana ia konsisten dengan lokasi kedudukan akhir motosikal seperti dalam rakaman video dashcam.
Katanya, rujukan juga telah dibuat berdasarkan rakaman dashcam serta rajah kasar polis bagi mengenal pasti lokasi-lokasi lain seperti lokasi serpihan kenderaan yang menunjukkan lokasi perlanggaran pertama dan kedudukan akhir mangsa. – KOSMO! ONLINE