SEBERANG PERAI – Sebanyak 4,120 karton rokok bernilai RM847,616 termasuk cukai dirampas dalam operasi Ops Taring Landai di Butterworth.
Dalam operasi selama dua hari bermula 3 Januari lalu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menyerbu sebuah premis tidak bernombor dan menahan dua lelaki warga asing.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, dua suspek itu direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) untuk siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.
Mengikut rekod, pada tahun lalu, PPM Wilayah Satu membuat sebanyak 2,168 tangkapan membabitkan rampasan bernilai RM42,460,732.88.
“PPM sentiasa komited memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai kastam dan penyeludupan barang salah terutama melalui jalan laut,” katanya. – KOSMO! ONLINE