SHAH ALAM – Pernah koma dua setengah hari akibat kemalangan jalan raya berlaku dua tahun lalu, peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) Rezza Shah berdepan masalah kurang daya ingatan yang membuatkannya mudah lupa.
Rezza atau nama sebenarnya Muhammad Shahrezza, 22, mengakui insiden tragik membabitkan kereta dinaiki bersama seorang rakannya pada akhir 2023 memberi kesan kepadanya untuk jangka panjang.
“Kenderaan dipandu kawan saya dirempuh sebuah Mercedes Benz sebelum dilanggar sebuah kereta lain yang mengakibatkan kami terus dikejarkan ke hospital.
“Rakan saya cedera tulang selangka manakala saya tidak mengalami luka luaran kecuali pada kepala yang memerlukan 11 jahitan seterusnya koma selama dua setengah hari.
“Apabila sedar saya tidak ingat apa yang berlaku malah sepanjang setahun selepas kemalangan juga banyak peristiwa saya sukar untuk ingat termasuk perkara baharu,” katanya selepas konsert minggu ketiga CSOIAM di Studio TV3 Glenmarie, malam tadi.
Anak jati Kuching, Sarawak itu berkata, bukan hanya berdepan masalah ingatan, kebolehan pertuturan juga berubah apabila percakapannya menjadi pelat.
Masih dalam proses pemulihan, Rezza berharap dapat segera pulih seperti keadaan dulu, namun tetap bersyukur diberi peluang untuk menjalani kehidupan bersama keluarga.
“Kalau tengok keadaan kereta yang kami naiki memang orang takkan sangka kami masih hidup, sekali gus hanya syukur yang mampu saya ucapkan.
“Waktu itu jika tengok luaran saya macam tidak mengalami kecederaan teruk tapi mungkin kepala saya terhentak kuat yang menyebabkan pertuturan saya turut terjejas.
“Apa pun kejadian ini menginsafkan kerana dengan izin Allah saya sedar semula daripada koma walaupun masih perlu menjalani terapi. Ibaratnya saya mendapat peluang kedua,” ujarnya.
Menyentuh kemaraan untuk konsert minggu keempat CSOIAM selepas dua peserta tersingkir malam tadi, Rezza berterima kasih atas sokongan ramai termasuk peminat pertandingan realiti itu yang mengundinya.
Biarpun berdepan cabaran, layak mara pada Ahad depan bersama lapan peserta lain merupakan petanda untuknya terus menonjolkan kemampuan bakat dan vokal.
“Bagi membolehkan saya tidak terlupa, saya banyak membuat catatan terutama sepanjang berada dalam program ini kerana dari situ saya dapat mengingati input penting,” katanya.
Dalam kejadian yang berlaku di Taman Midah itu, Rezza dimasukkan ke Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras manakala rakannya Azumi Shazani, 25, dirawat di Hospital Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE