fbpx

Wabak influenza ‘menggila’ di England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail 16 Disember 2021 menunjukkan orang awam menerima suntikan vaksin Moderna Covid-19 di Hospital Babington di bandar Belper, England. - AFP

LONDON – Kes influenza dan selesema di England terus melonjak dengan lebih 5,000 pesakit dimasukkan ke hospital menjelang Tahun Baharu 2025, lapor agensi berita Anadolu kelmarin.

Data terkini Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) meliputi tempoh cuti Krismas dan Tahun Baharu menunjukkan purata 4,469 pesakit dimasukkan ke hospital setiap hari pada ming­gu lepas akibat influenza.

Angka itu hampir 3.5 kali ganda lebih tinggi berbanding ming­gu sama tahun sebelumnya, termasuk 211 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi setiap hari.

NHS England memaklumkan bahawa terdapat 4,102 pesakit dimasukkan ke hospital akibat selesema atau influenza pada 25 Disember 2024 dan angka tersebut meningkat hampir 25 peratus kepada 5,074 kes menjelang 29 Disember lalu.

Angka baharu itu bermakna kes influenza di hospital meningkat empat kali ganda dalam tempoh sebulan berbanding 1,190 kes pada 29 November 2024.

NHS memberi amaran bahawa tekanan kepada sistem penja­gaan kesihatan dijangka berterusan sehingga 2025 akibat wabak selesema.

Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) turut mengeluarkan amaran serupa semasa cuaca sejuk di England ekoran suhu turun di bawah paras beku.

“Hospital mengalami tekanan selepas purata 723 pesakit norovirus dirawat di hospital pada minggu berakhir 22 Disember 2024 dan 528 pesakit setiap hari pada minggu lepas.

“Walaupun angka kemasukan pesakit telah menurun, ia masih 40 peratus lebih tinggi daripada 378 kes pada minggu sama tahun sebelumnya,” kata NHS.

Menurutnya, terdapat purata 74 kanak-kanak menghidap ‘Respiratory Syncytial Virus’ (RSV) yang dirawat di hospital di seluruh England setiap hari pada minggu lepas.

Angka itu meningkat hampir separuh berbanding 50 kes ha­rian bagi tempoh sama pada 2023, selain purata 1,184 katil dihuni pesakit Covid-19.

“Angka terbaru ini menunjukkan tekanan akibat selesema masih belum reda sebelum memasuki Tahun Baharu dan me­lonjak kepada lebih 5,000 kes sehari hujung minggu lalu.

“Jangkitan ini meningkat pada kadar sangat membimbangkan,” kata Pengarah Klinikal Kebangsaan NHS bagi Penjagaan Segera dan Kecemasan, Julian Redhead.

Redhead turut memberi amaran bahawa selain selesema, terdapat juga tekanan berterusan daripada beberapa virus lain termasuk Covid-19, RSV serta norovirus.

“Gelombang influenza musim sejuk ini menyaksikan lebih tiga kali ganda bilangan pesakit di hospital berbanding tahun lalu. Ia memberikan tekanan besar kepada NHS,” kata Setiausaha Kesihatan, Wes Streeting.

Sementara itu, jangkitan virus misteri yang menyerang sistem pernafasan manusia merebak di sebilangan lokasi di China dan mencetuskan kebimbangan baharu berhubung kadar penula­rannya, lapor laman berita CNBC minggu ini.

Menurut laporan media, pihak berkuasa China berdepan wabak penyakit berkaitan pernafasan terutamanya metapneumovirus manusia (HMPV) dan meminta rakyat memakai pelitup muka serta kerap mencuci tangan.

Pentadbiran Kawalan dan Pencegahan Penyakit Kebangsaan China (CDC) telah menetapkan protokol berhubung laporan makmal dan pengesahan kes-kes yang dilaporkan.

Menurut akhbar Financial Express, CDC mengeluarkan beberapa saranan termasuk pemakaian pelitup muka di tempat awam, menjaga jarak sosial, kerap mencuci tangan dan mengelakkan kawasan sesak.

CDC sebelum ini berkata, pihaknya sedang merintis sistem pemantauan untuk wabak radang paru-paru yang tidak diketahui puncanya itu.

Langkah mewujudkan sistem khusus itu bertujuan membantu pihak berkuasa menyediakan protokol untuk mengekang agen pembawa penyakit tersebut yang masih tidak diketahui.

Stesen penyiaran rasmi, CCTV memetik pegawai pentadbiran, Kan Biao sebagai berkata, China dijangka terjejas oleh pelbagai penyakit berjangkit pernafasan pada musim sejuk dan musim bunga kali ini.

Kes terbaharu yang dikesan termasuk rhinovirus dan HMPV.

“Data 16 hingga 22 Disember 2024 menunjukkan peningkatan dalam jangkitan pernafasan akut termasuk HMPV, terutamanya di wilayah-wilayah utara. Kes kebanyakannya melibatkan individu berusia di bawah 14 tahun,” katanya.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI