PETALING JAYA – “Hari pertama masuk wad yang ditanyakan adalah ‘laptop’ (komputer riba),” kata pengguna TikTok @evarizarina berhubung bapanya iaitu peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu akibat Influenza B.
Menerusi hantaran video terbaharu malam tadi, @evarizarina menceritakan keadaan terkini kesihatan bapanya yang semakin pulih selepas beberapa hari menerima rawatan di hospital.
“Datuk positif Influenza B, tapi dah ok sikit. Berita terbaharu alhamdulillah ‘daddy’ saya Tokmat dah makin pulih, oksigen pun dah makin naik, dah makin ke paras normal, dah boleh jalan sikit-sikit.
“Tapi ada satu lagi ujian malam ni (tadi), ‘daddy’ perlu jalani dan insya-Allah kalau semua berjalan dengan lancar esok (hari ini), insya-Allah ‘daddy’ boleh discaj. Harap Isnin ini ‘daddy’ Tokmat berlembut hati sambung rehat.
“Sebab siapa tahu lah, ‘daddy’ saya seorang keras kepala. Dalam fikiran dia kerja, kerja, kerja. Hari pertama masuk wad yang ditanyakan adalah ‘laptop’, masuk wad masih bawa ‘laptop’ ke mana-mana,” katanya pada video tersebut.
Terdahulu menerusi video dimuat naik dua hari lepas, @evarizarina memaklumkan bapanya yang juga popular dengan panggilan ‘peguam kotak pensel’ serta aktif di media sosial telah dimasukkan ke hospital.
Pada video tersebut, dia memohon orang ramai mendoakan kesihatan bapanya.
“Saya ingin memohon kebaikan semua untuk mendoakan kesihatan Tokmat. Saya juga memohon jasa baik semua untuk memberikan ruang kepada ‘daddy’ saya agar dapat fokus sepenuhnya pada rawatan beliau.
“Kepada para klien yang dihormati, kami akan menghubungi anda semula sebaik sahaja keadaan kembali stabil. Terima kasih atas sokongan dan kerjasama semua,” katanya pada kapsyen video.
Sebelum ini, Ahmad Zaharil tular dengan kisah kotak pensel apabila beliau membantu seorang wanita yang juga tukang cuci ditangkap mencuri bekas pensel di pasar raya untuk anak lelakinya sekitar tahun 1998.
Selepas 25 tahun kemudian, anak wanita itu yang menginjak usia 30-an mencari Ahmad Zaharil, malah dia turut memaklumkan telah bekerja sebagai peguam.
Ahmad Zaharil juga pernah menjadi peguam probono mewakili ‘Abang Bas’ pada September lalu berhubung dakwaan pertuduhan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE
@evarizarina Alhamdulillah selesai urusan untuk hari ni, isnyallah jika semua berjalan lancar Tokmat akan discharge esok. Terima kasih semua yang bertanya khabar dan yang mendoakan #peguampencilbox ♬ original sound – Eva 🇵🇸