PUTRAJAYA – Rayuan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman berhubung Titah Adendum akan didengar di Mahkamah Rayuan di sini esok.
Pada masa sama, mahkamah juga akan mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan bagi menyokong dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum tersebut.
Pendengaran itu ditangguhkan ke 6 Januari selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan kepada panel tiga hakim bahawa beliau telah memfailkan permohonan pada 3 Disember lepas untuk mengemukakan keterangan tambahan.
Kesemua prosiding itu, akan didengar panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril.
Berdasarkan rayuan itu, Najib, 71, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Julai tahun lalu yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong tuntutannya termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima kerana ia khabar angin semata-mata.
Najib mendakwa Titah Adendum itu akan membolehkannya menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Pada 1 April lalu, Najib memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada menerusi Tetuan Shafee & Co.
Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Bekas Perdana Menteri berkenaan memohon perintah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum, selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – KOSMO! ONLINE