ALOR SETAR – Pelakon veteran terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan menyatakan hasratnya untuk berehat seketika daripada dunia hiburan kerana ingin menumpukan perhatian beribadah tahun ini.
Pelakon yang bakal menginjak usia 71 tahun menjelang Februari itu memberitahu, beliau akan menunaikan umrah pada bulan ini sebelum kembali Tanah Suci bagi ibadah haji pada musim ini.
Jalaluddin memberitahu, keputusan itu dibuat setelah memohon petunjuk melalui solat istikharah yang dilakukan sebelum ini.
“Saya ingat nak berehat sekejap daripada dunia hiburan kerana bulan ini saya akan buat umrah dan saya juga terfikir untuk tunaikan haji tahun ini juga. Semua dalam perancangan.
“Saya terfikir kalau saya tidak buat sekarang, bila lagi? Sampai bila nak bagi alasan macam-macam. Bila saya duduk dan bertahajud serta istikharah minta petunjuk. Saya dapat seru kalau tak buat sekarang tak tahu bila lagi,” katanya selepas terlibat dalam program Semarak Karya Agung: Pementasan Teater ‘Seorang Tua Di Kaki Gunung’ di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Kedah di sini semalam.
Dalam pementasan itu, Jalaluddin buat kali pertama memainkan peranan utama dalam karya prolifik Allahyarham Azizi Haji Abdullah sebagai Tukya di samping pengarah teater terkenal, Dr. Norzizi Zulkifli. Jalaluddin menambah, beliau akan menunaikan umrah dan haji itu bersama isterinya, Datin Rapidah Abd. Ghani.
“Saya tidak dapat panggilan haji tetapi berhasrat untuk pergi melalui syarikat swasta memang mahal sikit tetapi tidak apalah. Saya fikir tentang keindahan beramal ibadah di sana nanti selepas umrah kemudian naik haji pula,” katanya.
Menyentuh tentang perkembangan karier lakonannya, kata Jalaluddin, beliau lebih banyak terlibat sebagai duta kempen dan produk kesihatan sejak kebelakangan ini berbanding berlakon.
“Sebab itu saya terkejut apabila menerima peranan utama dalam teater Orang Tua di Kaki Gunung ini. Saya cuma mempunyai masa kurang seminggu untuk menghayati watak dan berlatih bersama pelakon lain sahaja di Kedah ini. Bagaimana saya berlakon? Saya serahkan kepada penonton,” katanya. – KOSMO! ONLINE