BANGI – Operator makanan dan pengendali kafe di semua kampus universiti awam (UA) disarankan menyediakan menu seimbang dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata.
Saranan itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi memastikan setiap pelajar memperoleh nutrisi mencukupi.
Katanya, pada masa sama inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan terdahulu dapat diteruskan oleh semua UA.
“Sebagai penyedia makanan tentunya perkara pertama adalah memastikan makanan disediakan bukan sahaja enak dan mengenyangkan tetapi turut memberi manfaat kesihatan kepada pelanggan.
“Saya harap bukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sahaja menyediakan Menu Rahmah, malah kampus lain turut meneruskan inisiatif ini.
“Ini adalah barakah (keberkatan) termasuk doa pelanggan terhadap kualiti makanan dan harga munasabah,” katanya ketila berucap mersamikan Kuali Cafe @ UKM, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut meminta agar semua operator makanan dan pengendali kafe di UA sentiasa memastikan aspek pengurusan sisa makanan terbaik agar tidak menjejaskan alam sekitar.
Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof. Gs. Ts. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, kafe berkenaan menyediakan Menu Rahmah dengan sajian serendah RM3.
“Kuali Cafe beriltizam memberikan kualiti makanan dan produk terbaik dengan harga berpatutan sesuai dengan demografi warga kampus yang terdiri dari pelbagai latar belakang sosial serta ekonomi.
“Kuali Cafe juga tidak akan meminggirkan pelajar B40 yang berkeperluan khas untuk menerima bantuan makanan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE