fbpx

Sajian nasi ambeng auntentik Banghuris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BASIR menunjukkan nasi ambeng yang ditawarkan di Restoran D’Rebung Banghuris, Sungai Pelek, Selangor.

SETIBANYA di hadapan restoran, mata penulis dijamu dengan keindahan rimbunan pohon buluh madu yang subur menghijau. Di celah-celah rimbunan itu terdapat tempat-tempat makan yang diatur rapi seolah-olah menyatu dengan landskap di sekitarnya.

Berkonsepkan pasar tani di rimba buluh, Restoran D’Rebung Banghuris di Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek, Sepang, Selangor mengetengahkan satu menu istimewa yang merupakan sajian tradisi masyarakat Jawa di Malaysia.

Menurut pemiliknya, Basir Wagiman, sebagai anak jati kampung berkenaan, hidangan nasi ambeng merupakan signatur yang menjadi identiti di restorannya.

“Nasi ambeng bukan sekadar makanan, malah salah satu tradisi kepada sebahagian masyarakat di sini.

“Apa yang kami hidangkan adalah nilai sejarah dengan kenikmatan cita rasa yang bukan sahaja mengisi perut.

“Bahkan ia melambangkan perpaduan serta hubungan masyarakat,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Tambahnya, nasi ambeng yang disajikan merupakan resipi autentik yang sering dihidangkan dalam setiap upacara keraian masyarakat Jawa di kampung berkenaan.

TERDAPAT tiga aneka pilihan lauk iaitu ayam masak ungkep, ayam masak kicap atau ayam goreng berempah.

Dalam setiap set nasi ambeng sama ada talam atau pinggan, pengunjung akan mendapat nasi putih bersama elemen asas sajian iaitu sambal goreng, serunding kelapa, kacang tanah goreng, ikan masin dan mi goreng.

Bagi sumber protein pula, terdapat tiga aneka pilihan lauk iaitu ayam masak ungkep, ayam masak kicap atau ayam goreng berempah. Untuk set ambeng talam, ia boleh dinikmati oleh tiga hingga empat orang dengan harga RM47, manakala set pinggan pula adalah RM12.

Selain menu nasi ambeng, Basir memberitahu, terdapat satu lagi sajian tradisi yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu nasi bancaan.

Menu tersebut boleh diumpamakan sebagai ‘kembar tidak seiras’ kepada nasi ambeng, di mana ia mempunyai pilihan protein yang sama tetapi elemen asas sedikit berbeza.

“Nasi bancaan ini adalah ‘adik’ kepada nasi ambeng. Jika nasi ambeng dihidang untuk keraian besar seperti kenduri kahwin, akikah dan sebagainya, nasi bancaan pula merupakan sajian untuk majlis-majlis kecil seperti tahlil atau kesyukuran.

“Dalam nasi bancaan, semua elemen hampir sama kecuali serunding dan mi goreng yang ditukar kepada urap serta telur rebus,” ujarnya.

 

PELANGGAN boleh memilih beberapa pilihan lauk untuk nasi ambeng.

Kongsinya lagi, selain dua menu tersebut, terdapat sajian sampingan lain ditawarkan seperti pecal sayur kampung, rebung masak lemak, kulit lembu sambal tahun, daging salai, tempe sambal goreng, bergedil, mi sup, laksa dan sambal belacan.

Bagi minuman pula, menu istimewa ditawarkan adalah air lemon salam yang menggunakan ekstrak daun salam sebenar.

Selain menjual makanan signatur, Restoran D’Rebung Banghuris juga membuka peluang kepada penduduk kampung untuk berniaga hasil pertanian atau makanan di situ.

“Restoran ini menjadi medan buat penduduk kampung melakukan aktiviti sosial serta menambah pendapatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI