KUCHING – Sebanyak 1,777 karton rokok putih, 695 karton rokok kretek, 11,732.5 liter bir serta 2,137.9 liter arak pelbagai jenama dirampas daripada sindiket yang menjalankan kegiatan penyeludupan barangan itu di sini.
Komander Briged Sarawak PGA, Senior Asisten Komisioner Dr. Che Ghazali Che Awang berkata rampasan itu dibuat dalam serbuan Op Taring Alpha yang dijalankan oleh pasukan dari Cawangan Risik Batalion 11 PGA, Kuching ke atas gudang penyimpanan rokok dan arak seludup berkenaan, kira-kira pukul 10 pagi kelmarin.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM3 juta (mengikut harga pasaran). Pasukan serbuan juga berjaya menahan dua wanita warga tempatan berumur 30 dan 33 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Sek 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.
Tambah Che Ghazali, sepanjang pengoperasi Op Taring dalam tempoh 1 hingga 3 Januari ini, pihaknya telah merekodkan rampasan bernilai RM9.3 juta melalui tiga kes, termasuk tangkapan ke atas enam orang (empat lelaki dan dua wanita warga tempatan serta rampasan dua buah kenderaan pelbagai jenis. – KOSMO! ONLINE