LONDON – Bintang Manchester United, Marcus Rashford dilaporkan menolak tiga tawaran lumayan bernilai £35 juta (RM195.02 juta) setahun daripada kelab-kelab Arab Saudi, meskipun masa depannya di Old Trafford kabur.
The Red Devils dikhabarkan sedia melepaskan Rashford pada jendela perpindahan Januari, susulan keputusan pengurus baharu, Ruben Amorim untuk menggugurkannya daripada skuad utama.
Namun, pemain berusia 27 tahun itu lebih mengutamakan peluang menyertai kelab dalam liga kompetitif dengan harapan dapat memulihkan statusnya dalam skuad kebangsaan England.
Tawaran-tawaran dari Liga Arb Saudi yang jauh melebihi gaji £315,000 (RM1.75 juta) seminggu di United telah ditolak Rashford, termasuk kemungkinan perpindahan ke Turki apabila dia berazam untuk memikat pengurus England, Thomas Tuchel selepas diketepikan daripada skuad Euro 2024.
Meskipun terbuka untuk kekal bersama United sehingga kontraknya tamat pada 2028, Rashford tetap mempertimbangkan cabaran baharu jika ia dapat memacu kariernya ke arah lebih cemerlang.
United dilaporkan menimbang tawaran untuk Rashford bagi memastikan kelab kekal mematuhi peraturan kewangan dan mereka juga tidak menolak perpindahan secara pinjaman dengan syarat kelab baharu menanggung sebahagian besar gajinya.
Sejak digugurkan, Rashford tidak bermain dalam lima perlawanan terakhir dan hanya berada di bangku simpanan ketika United menentang Newcastle pada malam Isnin. – AGENSI