KOTA BHARU – Seorang rakyat Malaysia dicekup di Sungai Golok, Thailand selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan sindiket pengedaran dadah dan air ketum yang dianggarkan bernilai RM120,000 pada Isnin lalu.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.40 petang pada 30 Disember lalu oleh Pasukan Operasi Pencegah Narkotik Polis Sungai Golok di kawasan pekan yang terletak antara sempadan Malaysia-Thailand itu.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, sebanyak 1,943 biji pil ekstasi, pil erimin 5 (1,510 biji) ketamin ( 2,580 gram) dan air ketum (288 gram) dirampas bersama suspek ketika serbuan dijalankan.
Menurutnya, ujian saringan air kencing di Hospital Sungai Golok mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai memiliki kesemua dadah dan air ketum itu untuk diseludup dan dijual di Malaysia.
“Perbuatan memiliki dadah dengan jumlah tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap orang ramai sekali gus menjejaskan keselamatan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jadsadavit memberitahu, seorang peguam dan penterjemah bahasa hadir untuk membantu soal siasat suspek.
Menurutnya, cap jari lelaki itu diambil untuk semakan kes lampau melibatkan jenayah selain kesemua dadah tersebut dibawa untuk pengesahan sebelum suspek mendapat perintah reman oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat.
“Terdapat beberapa penahanan melibatkan suspek kes dadah tidak kira melibatkan rakyat Thailand atau warga asing pada setiap bulan.
“Balai Polis Sungai Kolok sentiasa bersikap tegas dan menguatkuasakan undang-undang kepada pesalah jenayah dadah tanpa sebarang diskriminasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE