BANGKOK – Penyerang sensasi Vietnam, Nguyen Xuan Son hanya mahu beri perhatian kepada persembahan di atas padang dan tidak terlalu memikirkan tentang tohmahan luar padang.
Selepas menjadi watak penting kepada kemenangan 2-1 Vietnam ke atas Thailand pada aksi final pertama Piala Asean, Khamis lalu, Xuan Son pasang impian untuk ulangi persembahan sama pada perlawanan timbal balik di Stadium Rajamangala, malam ini.
“Saya tidak kisah dengan apa yang orang katakan tentang saya kerana semua kata-kata itu tidak akan beri kesan kepada permainan saya.
“Sasaran saya hanya untuk berikan segala-galanya yang saya ada untuk bantu pasukan menang. Itulah yang saya lakukan dalam setiap perlawanan,” katanya.
Dua gol yang dihasilkan Khamis lalu menjadi bukti jelas kemahuan yang ada pada Xuan Son yang seakan diperlekehkan oleh pemain Thailand, Chalermsak Aukkee pada sidang media pra perlawanan.
Kejayaan itu juga memastikan kemenangan sulung Vietnam di tempat sendiri ke atas Thailand dalam tempoh 27 tahun sekaligus memberi harapan buat skuad Golden Star untuk menjulang Piala Asean buat kali ketiga.
“Kami perlu kekal fokus kerana Thailand mempunyai ramai pemain berkualiti namun realitinya kami sudah bersedia untuk berjuang dan memenangi perlawanan kedua,” jelasnya. – AGENSI