PUTRAJAYA – Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menyertai Himpunan Solidariti Terhadap Najib Razak esok ekoran perhimpunan itu melanggar undang-undang sedia ada.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, susulan itu, orang ramai dilarang menyertai himpunan itu di Istana Kehakiman berikutan tidak mendapat kebenaran.
“Perhimpunan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah, sekaligus tidak mematuhi syarat-syarat seperti yang termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Pihak Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana mana individu yangvmenyertai perhimpunan tersebut kerana melanggar undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Jelasnya, polis juga akan mendirikan beberapa sekatan jalan di laluan masuk ke Putrajaya selain membuat pemeriksaan ketat terhadap orang awam yang memasuki pusat pentadbiran itu.
“Sekatan itu bagi memastikan tiada apa apa senjata dan sepanduk yang mengandungi perkataan atau unsur-unsur hasutan berhubung dengan perhimpunan itu,” jelasnya.
Sementara itu, berdasarkan tinjauan Kosmo! turut mendapati pihak berkuasa terlibat telah memasang beberapa penghadang bagi memastikan sebarang perhimpunan yang dibuat pada hari ini berjalan dengan aman.
Penghadang itu dilihat dipasang di hadapan Istana Kehakiman di mana ia dijangka menjadi lokasi himpunan solidariti terhadap Najib.
Terdahulu, polis menolak permohonan penganjur untuk mengadakan himpunan solidariti Najib Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya esok.
Bagaimanapun, Pas akan tetap meneruskan penyertaannya dengan menyifatkan kehadiran ke perhimpunan itu tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini. – KOSMO! ONLINE