PETALING JAYA – Seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang menderita penyakit sehingga mengakibatkan lumpuh keseluruhan badan, sekali lagi dibantu oleh Yayasan Bank Rakyat menerusi penyerahan lebihan wang pampasan perlindungan takaful Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) sebanyak RM19,273.
Aidafatini Ab. Hamid, 24, yang menderita penyakit Anterior Cord Syndrome Secondary To Spinal Cord Infraction sejak Mac 2021 melanjutkan pelajaran di UM dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan dan merupakan pelajar tajaan PPBU.
Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, beliau terpanggil menyantuni Aidafatini sekali lagi bagi melihat semula keadaan kesihatan dan menyerahkan wang pampasan perlindungan takaful kepada keluarganya.
“Dengan wang pampasan perlindungan sebanyak RM19,273 ini diharapkan dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan merawat Aidafatini serta bebanan
kewangan ditanggung oleh ibu bapanya dari segi kos rawatan dan ubat-ubatan bulanan.
“Setelah pihak YBR menyelesaikan bayaran balik pembiayaan pendidikan yang telah dikeluarkan kepada Aidafatini sepanjang pengajian pada 2019 sehingga 2021 sebanyak RM19,000, lebihan daripada bayaran balik itulah dipulangkan semula kepada pelajar atau waris untuk digunakan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menyampaikan wang takaful tersebut di rumah keluarga Aidafatini di Kampung Telok, Arau, Perlis hari ini.
Bapa Aidafatini, Ab. Hamid Che Awang, 68, berkata, dia terkejut dan berterima kasih kepada YBR kerana hadir buat kali kedua untuk menyerahkan wang pampasan
takaful selain melihat keadaan anaknya yang masih memerlukan kos perubatan dianggarkan RM1,400 sebulan termasuk kelengkapan penjagaan.
“Saya amat memerlukan dana tambahan untuk membantu anak saya yang terlantar dan pendapatan pencen bulanan tidak cukup untuk menyara kami sekeluarga.
“Wang takaful ini ibarat rezeki terpijak dan ia amatlah membantu saya dalam menguruskan anak yang memerlukan jagaan penuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE