SINGAPURA – Seorang wanita berusia 68 tahun dimasukkan ke hospital selepas ditumbuk oleh individu tidak dikenali di sebuah stesen Transit Aliran Massa (MRT) di Singapura, lapor portal berita Must Share News semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 4 petang (waktu tempatan) di Stesen Dewan Bandar Raya pada 31 Disember tahun lalu.
Menurut mangsa, dia menaiki lif bersama seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an yang membawa bagasi besar.
“Lelaki itu berdiri di sebelah saya. Tidak lama kemudian, bagasi yang dibawanya terkena pada kaki saya.
“Dia kemudian menumbuk kepala saya secara tiba-tiba.
“Saya tidak pernah berinteraksi dengan lelaki itu, jadi saya tidak tahu mengapa saya ditumbuk,” tambahnya.
Wanita itu dimasukkan ke hospital berdekatan selepas mengalami sakit kepala yang teruk dan penglihatan yang semakin kabur. – AGENSI