fbpx

Nahas ngeri Melaka: Rim lori di pusat pelupusan disyaki ‘pembunuh sebenar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Komponen rim tayar lori yang dirampas di sebuah Pusat Pelupusan Sampah di Jalan Solok, Tangkak, Johor. - Foto ihsan IPD Alor Gajah

PETALING JAYA – Rim besi yang dipercayai berasal daripada tayar lori yang menjadi punca kemalangan mengorbankan tujuh nyawa di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Ayer Keroh pada 23 Disember lalu ditemui.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, komponen tersebut ditemui di Pusat Pelupusan Sampah di Jalan Solok, Tangkak, Johor.

“Komponen rim itu telah diserahkan oleh pihak Sub Kontraktor Propel kepada pihak polis. Satu laporan rampasan telah dibuat.

“Komponen tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memohon bantuan dan kerjasama orang ramai yang mempunyai rakaman papan pemuka (dashcam) atau maklumat tentang keberadaan tayar lori itu untuk tampil menyerahkannya kepada pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, berdasarkan laporan pemeriksaan awal Puspakom ke atas lori berjenama Foton yang terbabit dalam kemalangan tersebut mendapati tayar yang hilang itu memiliki rim bersaiz 22.5 inci dengan anggaran berat sekitar 100 kilogram bersama tayar.

Tayar tersebut dikatakan tercabut disebabkan kerosakan pada gandar kecil dan berada di tengah jalan semasa kejadian, seperti yang disahkan oleh pemandu lori yang terlibat dan saksi-saksi kejadian.

Dalam kejadian pada 23 Disember itu, tujuh individu maut, manakala 33 lagi cedera dalam nahas yang berpunca daripada tayar lori yang tercabut.

Sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang dari arah utara ke selatan gagal mengelak tayar tersebut sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Bas persiaran tersebut kemudian melanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza serta bertembung dengan treler dan Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI