fbpx

Menjelajah Hong Kong bersama keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAIRIS ZAFIRA bergambar bersama suami dan anaknya ketika bercuti di Hong Kong baru-baru ini.

KATA orang, ‘jauh perjalanan luas pemandangan’. Itulah prinsip dipegang oleh Zairis Zafira Mior Zawari yang menjadikan aktiviti bercuti ke luar negara sebagai rutin keluarganya pada setiap tahun.

Boleh dikatakan hampir sebahagian peta dunia sudah dijelajahinya seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Korea Selatan dan Jepun.

“Saya dibesarkan dalam keluarga yang gemar mengembara. Sejak kecil, apabila tiba hujung tahun, kami sekeluarga akan bercuti.

“Kini, apabila sudah berkahwin, saya ingin mengekalkan tradisi sama dengan keluarga kecil saya.

“Bukan saja menjadi satu amalan, bahkan bercuti bersama keluarga dapat mengeratkan hubungan dan sebagai hadiah untuk diri sendiri setelah setahun bekerja keras,” kata wanita itu kepada Cita Rasa.

Justeru, bagi melengkapkan tradisi itu, dia memilih Hong Kong sebagai destinasi untuk berlibur bersama keluarga bagi meraikan ulang tahun kelahiran anaknya pada Disember lalu.

“Hong Kong merupakan destinasi terbaharu yang kami lawati. Percutian ini merupakan hadiah kejutan untuk hari jadi anak.

“Suami membawa kami bercuti ke Disneyland Hong Kong.

“Percutian ke sana menjadi memori indah dan kami sekeluarga juga berpeluang mengembara ke Macau (China).

PEMANDANGAN indah bangunan pencakar langit di Hong Kong.

“Dengan menggunakan kemudahan feri Turbojet, perjalanan dari Hong Kong ke Macau hanya memakan masa sekitar satu jam.

“Macau mempunyai keindahan panorama yang sangat mempesona sehingga digelar sebagai ‘Instagrammable’ iaitu destinasi terbaik merakam foto-foto menarik untuk dimuat naik ke media sosial,” katanya.

Semasa percutian di Hong Kong, mereka berpeluang menginap selama dua malam di Disney’s Hollywood Hotel.

Di sana, Zairis Zafira sekeluarga dapat menikmati aura percutian berbeza apabila dekorasi bilik dilengkapi dengan watak animasi Disney seperti Mickey, Minnie, Goofy Donald dan Daisy.

Menariknya, mereka bukan sahaja berkunjung ke Disneyland, malah Zairis Zafira sekeluarga berpeluang menjejakkan kaki ke beberapa destinasi menarik di Hong Kong.

“Selain Disneyland Park di Lantau Island, terdapat pelbagai destinasi menarik lain di Hong Kong untuk dilawati. Kami sempat pergi ke Avenue of Stars di pusat beli-belah, Tsim Sha Shui di Kowloon.

“Kami juga berpeluang menikmati pemandangan indah dari atas Bukit Victoria Peak yang cukup menakjubkan.

“Sebagai arkitek dalaman, saya amat suka melihat reka bentuk dalaman yang sangat unik di K11 Musea di Tsim Sha Shui.

“Walaupun Hong Kong merupakan sebuah bandar moden dengan dihiasi bangunan pencakar langit, namun terselit binaan klasik yang masih digunakan di Nathan Road, Kowloon,” ujarnya.

Sementara itu, bagi mendapatkan makanan halal, Zairis Zafira mencadangkan kepada pelancong untuk berkunjung ke Islamic Centre Canteen di Wan Chai. Pelbagai pilihan menu disediakan termasuk hidangan utama iaitu dim sum.

DISNEYLAND merupakan salah satu tempat tarikan menarik Hong Kong.

“Pelancong mesti cuba mi tarik di Yaqut’s Lanzhou Hand-pulled Beef di Tin Hau.

“Jika inginkan hidangan nasi beriani atau roti nan keju, anda boleh cuba di Restoran Basmati yang terletak di Sheung Wan,” terangnya.

Dalam pada itu, Zairis Zafira berkongsi beberapa tip buat ibu bapa yang ingin bercuti ke luar negara bersama anak kecil.

“Bagi memastikan anak tidak meragam, bawa beberapa kelengkapan seperti buku melukis, mewarna, buku cerita atau permainan kanak-kanak.

“Sebaiknya, bawa barangan baharu yang belum pernah digunakan kerana ia dapat membuatkan mereka teruja dan tidak berasa bosan.

“Sediakan juga snek kegemaran mereka seperti roti atau biskut bagi membantu mereka lebih tenang,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Secara keseluruhan, percutian di Hong Kong meninggalkan kenangan manis, selain memberikan pengalaman baharu buat mereka sekeluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI