KUALA LUMPUR – Hanya diputarkan setahun sekali iaitu pada musim Krismas, penyanyi terkemuka Mariah Carey mencatat pencapaian luar biasa apabila meraih royalti sehingga RM22.3 juta (AS$5 juta) setiap tahun menerusi lagu ikoniknya, All I Want for Christmas Is You.
Menurut laporan berita antarabangsa, jumlah bayaran tersebut meliputi royalti daripada penjualan secara fizikal, penstriman serta pemutaran dalam media massa.
Selari dengan kejayaan lagu tersebut, Carey turut meraih sebahagian besar royalti kerana dia juga adalah penulis dan penerbit untuk karya itu.
Perkara itu bukan sahaja menjadikan Carey sebagai penyanyi dengan pendapatan tertinggi tetapi juga antara pencipta lagu yang menerima menerima jumlah royalti terbesar di dunia.
Beberapa tahun kebelakangan ini, lagu yang dilancarkan sekitar tahun 1994 itu kerap berada di kedudukan teratas carta muzik di pelbagai negara, termasuk carta Billboard Hot 100 di Amerika Syarikat.
Lagi tersebut juga menjadi antara lagu paling banyak diputarkan dalam platform penstriman seperti Spotify dan Apple Music setiap kali menjelang musim Krismas.
All I Want for Christmas Is You merupakan hasil ciptaan Carey bersama penulis lagu Walter Afanasieff dan bertemakan cinta dengan menggambarkan harapan seseorang yang ingin disayangi pada musim perayaan.
Lagu tersebut turut mencatat pelbagai rekod lain termasuk menjadi lagu Krismas pertama yang menjuarai carta muzik terbesar dunia iaitu Billboard Hot 100 pada tahun 2019. – KOSMO! ONLINE