SUNGAI PETANI – Seorang lelaki melecur di kaki dan tangan dalam kebakaran membabitkan 13 rumah kelas A di Kampung Keda, Tanjung Dawai di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi (PPON) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, mangsa yang berusia lingkungan 30-an tersebut telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 7.28 pagi.
“Jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan sampai pada pukul 7.54 pagi dengan jarak ke lokasi sejauh 19.8 kilometer. Operasi memadam kebakaran turut dibantu BBP Guar Chempedak dan Sungai Petani selain kehadiran anggota dari Balai Bomba Sukarela berdekatan,” katanya.
Jelas beliau, setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati anggaran kemusnahan 80 peratus dan kerja pemadaman menggunakan enam aliran 10 pancutan.
“Setakat ini, Pos Kawalan Bomba (PKB) Tanjung Dawai telah diaktifkan dan operasi di lokasi kini di peringkat ‘overhaul,” katanya. – KOSMO! ONLINE