PUTRAJAYA – Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula esok bersempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11.
Wisma Putra berkata, Lawrence akan diiringi isterinya, Loo Tze Lui selain Timbalan Perdana Menteri, Menteri Perdagangan dan Industri serta beberapa menteri lain.
“Beliau akan diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya diikuti dengan mesyuarat delegasi ALR bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Satu kenyataan akhbar bersama akan dikeluarkan selepas ALR tersebut,” katanya hari ini.
Semasa lawatan tersebut, kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
“Kedua-dua pemimpin juga dijadualkan menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (Joint Agreement on Johor-Singapore Special Economic Zone- JS-SEZ).
“Ia turut melibatkan enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat yang merangkumi pendidikan, wanita dan kebajikan sosial,” katanya.
Surat niat itu turut merangkumi perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar serta usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Katanya, sebagai negara jiran dan salah satu rakan utama dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai bidang.
“Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah USD78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024.
Untuk rekod, tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE