KONVOI motosikal bukan sekadar menjelajah sesuatu lokasi secara beramai-ramai, malah ia membawa misi serta usaha kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Itu merupakan antara intipati yang diterapkan dalam penganjuran Konvoi Mega Ride Ukhwah Maran 2024 (Ride Ukhwah) anjuran Persatuan Roda Amal Variasi Malaysia (RAVM) baru-baru ini.
Selain itu, aktiviti konvoi berkenaan merupakan usaha untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada pencinta dunia permotoran tanpa mengira jenama, jenis atau lapisan umur.
Menurut pengerusinya, Mohd.Shahrul Azman Johari, program yang berlangsung pada 15 Disember lalu itu merupakan antara inisiatif kebajikan melibatkan semua barisan sekretariat, ketua wilayah, ahli jawatankuasa dan exco negeri serta kelab-kelab penyokong RAVM.
“Konvoi merupakan aktiviti wajib persatuan. Kali ini, kami menjelajah ke Maran (Pahang) untuk menziarah Maahad Al-Quran Al-Usmaniah Sentosa (Mataas).
“Perjalanan ini bukan sekadar suka-suka, tetapi kami membawa misi untuk menyampaikan sumbangan buat institusi tersebut. Ia bagi membantu mengurangkan beban kos operasi yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Cita Rasa baru-baru ini.
Tambahnya, selain penyertaan ahli, program konvoi melibatkan lebih 750 jentera itu turut disertai oleh ahli Parlimen Maran merangkap Penaung Persatuan RAVM Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd. Sofian Abdul Jalil; ADUN Kuala Sentul, Jasri Jamaludin; ADUN Chenor, Mujibur Rahman; ADUN Pulau Manis, Mohd. Rafiq Khan, dan Ketua Polis Daerah Maran, Supt. Wong Kim Wai.
Jelasnya lagi, Ride Ukhwah juga diadakan bagi merapatkan hubungan antara kesatuan dan persahabatan dalam kalangan pencinta dunia permotoran dalam konteks variasi jentera.
Sama seperti aktiviti terdahulu, konvoi tersebut tidak ‘memilih bulu’ atau mana-mana kroni dan semua penunggang motosikal sama ada golongan muda hingga veteran.
“Lokasi yang menjadi tumpuan kunjungan kami adalah sekolah pondok, rumah anak yatim serta rumah-rumah asnaf dengan kali ini kami ke Mataas.
“Kami juga menjalankan misi kebajikan lain seperti bantuan banjir, mangsa kebakaran, tanah runtuh dan menziarah keluarga mangsa kemalangan maut atau parah,” jelasnya.
Berkongsi perjalanan konvoi, Mohd.Shahrul Azman berkata, Ride Ukhwah kali ini bermula seawal pukul 8 pagi, dengan para peserta dari sekitar Lembah Klang berkumpul di stesen minyak BHP berhampiran Plaza Tol Gombak, Selangor.
“Selepas semua berkumpul, perjalanan dimulakan dengan menuju ke hentian pertama iaitu stesen minyak dekat Plaza Tol Bentong sebelum ke hentian rehat dan rawat (R&R) Temerloh (Pahang) untuk isi minyak.
“Kemudian, semua ahli konvoi berkumpul di Plaza Tol Chenor, lokasi majlis pelepasan konvoi diadakan dengan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Maran, Dr. Ismail,” ujarnya.
Katanya, konvoi dari Plaza Tol Chenor bergerak menuju ke Mataas sekitar pukul 11.30 pagi.
Setibanya di sana, program diteruskan dengan aktiviti ziarah, pemberian sumbangan dan cenderahati.
Selepas misi utama dilaksanakan, konvoi diteruskan ke Masjid Bandar Maran untuk solat dan makan tengah hari di Medan Selera Dataran Maran. Sebelum program bersurai, diadakan upacara cabutan bertuah dan sesi bergambar.