PETALING JAYA – Keterangan dua individu yang disyaki terlibat mengambil pil ekstasi ketika Konsert Pinkfish, Bandar Sunway akan diambil selepas dibenarkan pihak hospital.
Memaklumkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua individu itu ketika ini masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Bagaimanapun katanya, kedua-dua individu itu telah sedarkan diri namun masih lemah.
“Mereka kini dalam keadaan stabil namun lemah. Kita akan merekodkan keterangan kedua-dua individu terbabit selepas dibenarkan pihak hospital,” katanya ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan polis telah merakam keterangan 15 individu setakat ini bagi membantu siasatan kematian empat individu dalam konsert Pinkfish di Bandar Sunway.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia termasuk keterangan daripada rakan-rakan dan ahli keluarga mangsa.
Katanya, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat dan toksikologi bagi menentukan punca kematian empat individu tersebut.
Dalam kejadian pada malam ambang tahun baharu itu, dua lelaki dan dua wanita tempatan berusia 20 hingga 40 tahun yang maut selepas menghadiri konsert itu disyaki positif dadah jenis ekstasi.
Justeru, polis telah membuka empat kertas siasatan bagi mengenal pasti sekiranya wujud unsur jenayah atau keracunan.
Polis juga kini melakukan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan terdapat penjualan pil ekstasi di dalam kawasan penganjuran konsert Pinkfish itu. – KOSMO! ONLINE