DEKORASI dalaman bukan sahaja menjadikan sesebuah kediaman terlihat kemas dan rapi, malah mampu menyerlahkan pesona si pemilik.
Konsep dan jenis hiasan juga memainkan peranan penting bagi memberi keselesaan kepada kediaman.
Justeru, pemilihan konsep penting agar pemilik tidak membuat kesilapan dalam menentukan jenis perabot dan barangan hiasan.
Menurut Pereka Hiasan White Dot, Maslin Md. Ramly, gabungan konsep neo minimalis dan bioorganik bakal menjadi trend pada tahun ini.
Elemen sederhana yang dipadankan dengan bahan mesra alam dan reka bentuk organik bakal menjadi tarikan utama dekorasi.
“Fokus akan diberikan kepada ruang yang lebih tenang, kelihatan mewah tetapi memiliki fungsi baik termasuk untuk gaya hidup moden.
“Sementara itu, elemen perabot melengkung atau curved furniture dan cermin bersaiz besar dengan bentuk bingkai unik antara perabot yang dijangka menjadi pilihan pada 2025,” katanya.
Tambah Maslin, pemilihan bahan semula jadi seperti kayu yang memiliki tekstur, rotan dan batu marmar bakal menjadi trend.
“Elemen sebegini akan menjadi pilihan utama, selain candelier dengan bentuk artistik dan karya seni abstrak,” katanya.
Mengukuhkan kenyataan itu, didapati barangan tersebut banyak terjual di premis jualan dekorasi, sekali gus membuktikan ia menjadi pilihan pengguna masa kini.
Dalam pada itu, warna dengan unsur tenang dan semula jadi dijangka popular sepanjang tahun ini.
Selain membantu mewujudkan mood ceria, pilihan rona sebegini turut memberikan rasa relaks.
“Warna yang dijangka popular adalah hijau sage, kuning air (beige), coklat tanah dan biru natural.
“Pilihan warna sebegini mencerminkan keinginan untuk mendekatkan diri dengan alam semula jadi sambil memberikan rasa tenang dan hangat pada ruang rumah,” jelasnya.
Selain itu, Maslin turut berkongsi beberapa tip bagi membantu pemilik kediaman supaya tidak membuat kesalahan terhadap pemilihan perabot.
Antara yang boleh membantu adalah pemilihan pasu tinggi dengan pokok hijau (tanaman dalam rumah) untuk menaikkan mood semula jadi.
“Lukisan dinding berwarna terang, seni arca kayu atau seramik boleh digunakan untuk menonjolkan kreativiti.
“Bagi pemilik rumah beragama Islam, kita disarankan memilih arca bercorak abstrak.
“Perhiasan untuk meja media atau konsol seperti lilin wangi dan mangkuk seramik mampu memberikan suasana tenang.
“Kusyen kecil dengan tekstur dan corak moden akan menaikkan nilai dekorasi sesuatu ruang,” ujarnya.
Maslin turut menjelaskan, pilihan warna cerah pada dinding dan perabot dapat memberikan kesan ilusi supaya ruang kelihatan lebih luas.