POSISI Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal menjanjikan perebutan sengit dalam kalangan beberapa nama besar yang dilaporkan bersedia untuk bertanding merebut jawatan berkenaan.
Selepas menyatakan pendiriannya tidak berminat untuk merebut jawatan presiden, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar menzahirkan hasrat untuk bertanding merebut kerusi timbalan presiden.
“Saya akan bertanding untuk merebut jawatan nombor dua FAM. Menerusi pengalaman yang dimiliki sudah pastinya akan membantu untuk meningkatkan kualiti bola sepak negara.
“Arena bola sepak negara kini dalam landasan tepat untuk berubah dan saya sedia berkhidmat ke arah menjayakan perubahan besar berkenaan,” katanya.
Ketika ini, seperti yang dikatakan Shahril akan bersaing hebat dengan timbalan presiden sedia ada, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram serta Naib Presiden, Mohd Firdaus Mohamed.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Penajaan dan Pemasaran FAM itu menjelaskan hasrat itu adalah berpaksikan kepada matlamat utama untuk merevolusikan bola sepak negara ke arah lebih baik.
Dari segi pengalaman dan kemahiran yang ada, Shahril memiliki kedua-duanya iaitu dalam bidang pengurusan bola sepak dan korporat.
Shahril berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC malah turut menjawat beberapa jawatan penting dalam syarikat korporat terkemuka.