fbpx

Karya agung Usman Awang diterbit kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOVEL Tulang -Tulang Berserakan dan kumpulan puisi Ke Makam Bonda karya Usman Awang diterbitkan kembali Cempakasari.

MENERJAH 2025, merupakan satu tahun yang menyaksikan Sasterawan Negara Usman Awang genap 96 tahun jika sosok itu masih ada. Walaupun sudah 23 tahun meninggalkan dunia sementara, karya sasterawan yang dikenali sebagai Tongkat Warrant masih lagi ‘hidup’.

Bekas Ketua Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain menulis mengenai Allahyarham yang amat diingati dengan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu menerusi puisi Keranda 152 (1967) atau Duri dan Api (1961) yang menyalakan perjuangan wartawan menolak campur tangan politik dalam kewartawanan.

Malah, Usman Awang juga berdiri teguh bersama-sama rakyat miskin yang meneroka tanah milik kerajaan di Telok Gong dalam puisi Peneroka Abad ke 20 (1967).

Itu hanya beberapa karya daripada lebih 200 puisi yang dihasilkan sepanjang hayatnya. Malah yang disebutkan di atas belum termasuk lagi puisi menunjangi nilai kemanusiaan yang merentas garis kaum. Malah, banyak puisi yang melontarkan kritikan keras terhadap penjajah pada zaman darurat dalam novel tunggalnya, Tulang-Tulang Berserakan (1966).

Beberapa bab novel itu menekankan mengenai hubungan kemanusiaan yang melampaui garis kaum antara Melayu, Cina dan India. Pengalaman sebagai anggota polis British yang berinteraksi dengan rakyat pelbagai kaum dialirkan secara kreatif dalam Tulang-Tulang Berserakan.

USMAN AWANG

Tulang-Tulang Berserakan adalah satu daripada empat novel Melayu yang mengambil latar sosial zaman darurat yang penuh trauma. Tiga novel lain ialah Tugu karya Hassan Ali, Bukit Kepong (Ismail Johari) dan Panglima Salleh Selempang Merah (Zaharah Nawawi).

Sebelum menghasilkan Tulang-Tulang Berserakan, Usman Awang sudah banyak mengungkapkan kepahitan zaman darurat dalam beberapa cerpen dihasilkan sepanjang dekad 1950-an hingga 1960-an. Antaranya cerpen Kami Yang Terlibat (1961), Setelah Tahun 1948 (1957) dan Dari Johor Bahru Ke Kota Tinggi (1956). Sementara puisi Tulang-Tulang Berserakan pula dihasilkan pada 1962 dipercayai pencetus pada lahirnya novel Tulang-Tulang Berserakan.

“Dalam Tulang-Tulang Berserakan, kita seakan-akan melihat terus ke hati dan fikiran Usman Awang yang sedang berjuang dengan dirinya – antara tugas yang memberikan gaji dengan nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi pegangan sejak lama.

“Kenapa Usman Awang berhenti daripada menjadi polis British dan memilih bidang penulisan dalam bidang kewartawanan sekali gus kesusasteraan? Tulang-Tulang Berserakan ada jawapan pada persoalan demikian,” tulis beliau dalam satu artikel sebelum ini.

Terkini, cetakan baharu Tulang-Tulang Berserakan diterbitkan oleh syarikat penerbitan Putih Rona Dagang atau Cempakasari bersama-sama kumpulan puisi Ke Makam Bonda yang menghimpunkan 96 puisi Usman Awang.

Bagi penerbit, Rozais Al Anamy, untuk memilih naskhah yang bukan sekadar berkongsi rasa atau pengalaman hidup atau karangan kisah peribadi tanpa suntikan ilmu dan pemikiran yang berupaya mengubah kompas kehidupan dan pegangan seseorang, Cempakasari memilih novel Tulang-Tulang Berserakan karya Usman Awang untuk diterbitkan kerana ia mengangkat darjat ilmu (melalui amalan membaca).

Biarpun novel ini pernah beberapa kali diterbitkan oleh pelbagai pihak, Cempakasari dengan keizinan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) sebagai pemegang hak cipta karya Usman Awang berharap segala panduan arah pemikiran yang dialirkan lewat novel yang merupakan catatan sejarah perjuangan dan pengorbanan pada zaman darurat Tanah Melayu ini dapat menjadi lampu suluh menemukan erti kemanusiaan dan hakikat perjuangan sebenar setiap insan.

“Dalam simpang siur pelbagai ideologi serta sikap yang terhasil daripada pegangan setiap pihak yang berkepentingan dalam Tulang-Tulang Berserakan, Usman Awang menampilkan wajah sebenar pihak-pihak tersebut untuk menjadi panduan kepada pembaca – sama ada mereka yang sezaman dengannya atau golongan pembaca daripada generasi yang tidak pernah bertembung dengan zaman perit duka yang banyak mengorbankan nilai kemanusiaan.

“Oleh kerana segala peristiwa yang terangkum dalam sebuah sejarah itu umpama roda yang sentiasa berpusing, tidak mustahil keadaan yang berlaku pada zaman yang digariskan Usman Awang itu berulang pada kita. Justeru itu, novel ini amat membantu kita semua dalam mengambil sikap dan memilih pihak khususnya, sewaktu mengharungi pertentangan politik – supaya tidak menjadi alat untuk kemusnahan dan kecelakaan orang lain atas kepentingan atau kedangkalan diri,” jelasnya.

Tulang-Tulang Berserakan ini katanya, dikira karya wajib milik kepada semua orang yang ada sifat sasterawan-wartawan untuk diambil semangat daripadanya; kepada mereka yang mengagungkan ilmu dan pemikiran dalam hidup mereka untuk menambahkan keyakinan bahawa hanya dengan ilmu dapat menganjak paradigma pemikiran seseorang; seterusnya kepada golongan yang masih teraba-raba memilih sikap dalam menghadapi pergolakan prinsip hidup yang banyak dilencongkan oleh pihak berkepentingan.

Penerbitan semula novel ini adalah suatu hadiah rasa daripada penerbit untuk pembaca menghargai perjuangan seorang sasterawan memberi pencerahan kepada masyarakat melalui kisah hidupnya yang penuh warna-warni dan bermanfaat.

“Semoga usaha menerbitkan semula novel ini yang boleh didapati di Facebook Rozais Al Anamy boleh memanjangkan kebaikan Almarhum Usman Awang dan dikira sebagai amal soleh yang dilanjutkan oleh pembaca demi pembaca kepada beliau ‘di sana’ setiap kali novel ini dihadam,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI