KEINDAHAN flora dan fauna merupakan salah satu identiti menarik yang menjadi tarikan pelancongan di Malaysia.
Memandangkan negara ini beriklim khatulistiwa, maka tidak hairanlah sekiranya rimba di Malaysia menjadi ‘rumah’ kepada hutan tertua di dunia.Antara lokasi pelancongan yang memberikan nuansa hutan autentik di negara ini adalah Taman Negara Malaysia (Taman Negara). Tarikan ini telah berjaya menarik pelancong dari dalam dan luar negara, selain menjadi lokasi untuk konsep percutian ekoterapi.
Menurut salah seorang pengunjung Taman Negara, Dr. Mohd. Istajib Mokhtar, ekoterapi merupakan aktiviti berasaskan interaksi dengan alam.
“Taman Negara merupakan lokasi ideal untuk aktiviti percutian ekoterapi. Ia merupakan satu konsep percutian terapi bagi mengembalikan fokus dan meningkatkan emosi positif.
“Lokasi ini juga merupakan ‘rumah’ kepada pelbagai habitat flora dan fauna, selain dilengkapi pelbagai kemudahan buat pengunjung,” katanya ketika dihubungi oleh Cita Rasa baru-baru ini.
Mohd. Istajib merupakan penganjur aktiviti ekoterapi bersama sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) daripada Kolej Kediaman Pertama menerusi kelab ekoterapi, ASTAR Recreational and Educational Club (Astrec).
Terletak di antara Pahang, Terengganu dan Kelantan, Taman Negara menempatkan kawasan hutan sangat tua dengan anggaran usia mencecah lebih dari 130 juta tahun.
Taman Negara adalah kawasan pertama yang dilindungi secara rasmi di Malaysia. Ia diwujudkan pada tahun 1938, dengan nama asalnya King George V National Park.
Selepas negara mencapai kemerdekaan, ia dinamakan semula sebagai Taman Negara, dan menjadi destinasi pelancongan popular.
Salah satu tarikan paling terkenal adalah Taman Negara Canopy Walk iaitu jambatan gantung sepanjang 510 meter yang merangkumi sebilangan besar puncak hutan.
Kongsi Mohd. Istajib, selain menikmati keindahan alam, terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan semasa melancong di Taman Negara.
Mengambil contoh aktiviti kelab Astrec, dia yang juga merupakan Pengetua Kolej Kediaman Pertama UM menjelaskan, antara aktiviti dilakukan adalah menyantuni masyarakat Orang Asli suku Batek iaitu penghuni tetap Taman Negara.
“Kami berpeluang melihat haiwan yang aktif pada waktu malam seperti babi hutan, kelawar, dan kubung Sunda.
“Selain itu, kami berpeluang mendaki Bukit Teresek berketinggian 334 meter dari paras laut. Walaupun pendakiannya tidak mencabar, namun cukup memberi pengalaman kepada peserta,” ujarnya.
Katanya lagi, menerusi kunjungan ke perkampungan Orang Asli suku Batek, pihaknya dapat belajar tentang panduan kehidupan di hutan.
Antaranya, melakukan demonstrasi menghidupkan api tanpa peralatan tambahan serta cara memburu haiwan di hutan menggunakan sumpit.
“Ternyata bukannya mudah untuk mengendalikan sumpit ini, apatah lagi menggunakannya bagi mencari makanan untuk ahli keluarga,” kongsinya.