PETALING JAYA – Public Health Malaysia (PHM) menasihatkan orang ramai agar tidak panik berikutan laporan peningkatan kes Human Metapneumovirus (hMPV) di China, baru-baru ini.
Menurut hantaran di Facebook, PHM berkata, hMPV bukan virus baharu dan telah dikenal pasti sejak tahun 2001.
Katanya, kebanyakan individu telah terdedah kepada virus ini sejak kecil.
“hMPV adalah penyakit yang tidak perlu dinotifikasi dan dilaporkan.
“Penularannya berlaku melalui kontak rapat dan titisan pernafasan, serta biasanya berlaku secara bermusim di hujung tahun,” katanya.
Bagi individu sihat ujarnya, jangkitan hMPV hanya menunjukkan gejala ringan seperti selesema biasa.
Untuk langkah pencegahan, orang ramai dinasihatkan untuk mencuci tangan dengan sabun dan air, tutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin.
“Fokuskan pada menjaga kesihatan diri dan keluarga. Sekiranya mengalami gejala pernafasan, dapatkan rawatan awal, terutamanya bagi kanak-kanak kecil dan warga emas,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE