BANGI – Pemimpin dan ahli UMNO yang masih berhasrat menyertai perhimpunan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya perlu menanggung risiko sendiri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu sehingga kini kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai perhimpunan berkenaan.
“Kalau ada individu yang (hadir perhimpunan solidariti), kita serahkan kepada mereka untuk mengambil risiko (sendiri).
“Kita harap tidak ada penganjur-penganjur dari mana-mana bahagian atau cawangan (UMNO) yang turut terlibat secara rasmi di perhimpunan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kuali Cafe@Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama Najib, atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
Perkembangan berkenaan susulan kenyataan Istana Negara, mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berkata, parti itu menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada Najib.
Katanya, UMNO juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh ahli UMNO yang sudah menyatakan komitmen tinggi untuk memberikan sokongan moral walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat UMNO sebelum ini. – KOSMO! ONLINE