SHAH ALAM – Sembilan bintang Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran dilakukan pada konsert minggu ketujuh yang berlangsung di Auditorium MBSA di sini, hari ini.
Berita gembira itu sekaligus melayakkan Liza Aziz, Sheila Abdul, Dadali Dyrga, Ronnie Hussein, Ning Baizura, Fairuz Selamat, Zehra Zambri, Arrora Salwa dan The Lima mara ke konsert minggu kelapan.
Minggu ini, persembahan hebat Liza yang mendendangkan lagu Damelo dendangan asal kumpulan Dolla meraih markah tertinggi daripada barisan juri tetap sekali gus melayakkannya membawa pulang Anugerah Terpaling Adabi dan membawa pulang wang tunai RM2,000.
Sementara, Fairuz pula mendapat markah terendah apabila berada di kedudukan tercorot dalam segmen Ada Lagu Ada Lagi minggu ini.
Sebelum itu, Liza diumumkan sebagai pemenang Ikon Super Lit CelcomDigi selain dipilih menjadi Bintang Cuckoo Paling Gempak mengikut undian peminat.
Minggu depan, kesemua bintang yang layak bakal berentap dengan tema Kengkawan.
GV11 menampilkan barisan juri profesional Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat serta dikemudikan oleh dua pengacara popular Nabil Ahmad serta Sherry Alhadad yang menggantikan Jihan Muse. – KOSMO! ONLINE