LEMBARAN fesyen tahun 2024 telah melabuhkan tirai dengan menyaksikan dominasi trend rona logam, motif cheetah, rekaan bunga mawar, gaya preppy dan electric grandpa dengan padanan aksesori bows.
Membuka lembaran tahun baharu, industri fesyen dijangka memperlihatkan satu transisi baharu yang mengetengahkan stigma gaya tidak konvensional, boho dalam letusan warna yang lebih terang dan lembut.
Menurut penata gaya, Ayie Ali, secara umumnya, tahun 2025 juga akan sekali lagi memperlihatkan rekaan longgar dan berombak bagi seluar, kemeja mahupun jaket.
“Intepretasi bagi trend boho ini akan diperhebat lagi dengan teknik layering atau berlapis. Ramai pereka fesyen yang cenderung rekaan ini kerana si pemakai tampak lebih selesa tanpa menenggelamkan susuk tubuh si pemakai.
“Rekaan bercorak seperti tumbuh-tumbuhan dan berkotak, mahupun teknik perca akan dapat dilihat sepanjang tahun 2025.
Jenama seperti Kenzo, Zegna, Paul Smith dan Louis Vuitton banyak mengetengahkan ritma ini. Jelas kelihatan, trend ini tidak lari jauh dan akan kembali serta diulang-ulang,” katanya kepada Cita Rasa.
Tambahnya, trend fesyen bagi lelaki pula bakal memfokuskan kepada celana yang terlalu pendek dan juga fabrik sheer bagi baju atau top.
Beberapa trend pakaian yang akan dapat dilihat ialah kemeja polo (polo-T), tidak kira sama ada polo-T biasa atau berpotongan singkat dan pointy shoulder polo-T.
Bagi wanita, penggunaan tas tangan kasual harian bersaiz besar termasuk seluar denim rekaan longgar dari potongan boyfriend atau mid-thigh akan menjadi ikutan dan perhatian sepanjang 12 bulan mendatang.
Berkongsi tentang jangkaan trend fesyen tempatan, Ayie memberitahu, industri fesyen Malaysia punyai DNA-nya tersendiri.
“Bagi pendapat saya, khalayak fesyen tanah air kita bersifat individual dan oleh kerana itu pereka fesyen tempatan juga kebanyakannya mengikut keperluan pelanggan masing-masing tanpa terlalu dipengaruhi oleh trend terkini,” katanya.
Tambahnya, trend yang digembar-gemburkan saban tahun, sememangnya mudah dimiliki oleh sesiapa sahaja sama ada di mana-mana premis fesyen mampu milik seperti H&M, Uniqlo mahupun kedai fesyen online dari negara luar terutama dari China seperti Shein.