MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim mengharapkan sesi latihan yang lebih dilakukan oleh pasukannya sejak kebelakangan ini membantu mereka untuk memperbaiki prestasi semasa.
United akan bertandang ke Anfield tengah malam ini untuk berdepan cabaran yang getir bertemu pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool yang sedang berada pada prestasi terbaik ketika Amorim masih belum menemui sentuhan terbaik di Old Trafford.
Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu percaya, bola sepak adalah sesuatu yang unik dan tidak akan ada yang mampu menjangkakan apa-apa keputusan sehingga wisel penamat perlawanan dibunyikan.
“Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Jika kita bercakap mengenai musim, pasukan yang baik sentiasa akan menang. Buat masa ini, mereka lebih baik berbanding kami, tetapi kami mampu menang dalam mana-mana perlawanan.
“Kami perlu memberikan fokus terutama mengenai persembahan. Kami perlu meningkatkan beberapa perkara yang mudah. Sudah pasti ia tempoh yang sukar kerana kami tewas banyak perlawanan dan perlu berdepan pasukan yang baik musim ini,” katanya.
Amorim turut mengakui bahawa United ‘dahagakan’ sikap kepimpinan untuk mengharungi musim yang serba tidak menjadi ketika ini selain ia diperlukan ketika mereka perlu turun menentang Liverpool.
Selepas kehilangan Bruno Fernandes yang digantung perlawanan ketika tewas menentang Newcastle, United kembali mendapatkan khidmat ketua pasukan itu untuk aksi kali ini, selain Amorim turut mengharap daya kepimpinan yang dimiliki pemain pertahanan, Harry Maguire.
“Saya bercakap dengan Maguire dan memberitahunya bahawa dia perlu meningkatkan tahap permainan. Dia juga perlu menjadi seorang pemimpin di padang, kami sangat memerlukan seseorang yang mampu melakukan kerja-kerja tersebut,” ujarnya.
United tewas dalam empat aksi berturut-turut untuk meletakkan mereka di kedudukan ke-14 dan rekod perlawanan menyaksikan kali terakhir The Red Devils meraih kemenangan ke atas Liverpool di Anfield adalah kira-kira sembilan tahun lalu. – AGENSI