PETALING JAYA – Dua bekas pengarah syarikat didenda sebanyak RM100,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah menggunakan wang syarikat sebanyak RM200,000 sebagai pembayaran bonus kepada diri sendiri tanpa kelulusan mesyuarat agung.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataannya memaklumkan, Teo Tzi Sin dan Wong Poh Wah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Disember lalu bagi satu pertuduhan mengikut Seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan kedudukan untuk manfaat kepada diri sendiri.
“Pembayaran bonus tersebut dibuat bersekali dengan pembayaran gaji mereka pada 30 Januari 2018. Sebelum ini, kedua-dua tertuduh telah mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan.
“Walau bagaimanapun pada 13 Disember 2024, kedua-dua tertuduh telah menukar pengakuan mereka kepada pengakuan bersalah dan Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 20 Disember untuk pembacaan fakta kes dan hukuman,” menurut kenyataan SSM hari ini.
Berikutan itu, Tzi Sin dan Poh Wah dikenakan denda sebanyak RM100,000 setiap seorang dan jika gagal bayar, hukuman penjara enam bulan terhadap mereka.
Kedua-dua tertuduh telah menjelaskan bayaran denda sejurus selepas prosiding selesai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM, Nurul ‘Ain Shafie dan Nurul Nabila Azmi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ong Weng Li daripada Tetuan W.L Ong & Associates.
Dalam pada itu, SSM memberi peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap individu yang didapati melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan di bawah undang-undang yang dikawal selia oleh SSM. – KOSMO! ONLINE