LONDON – Arsenal dilaporkan serius untuk mendapatkan khidmat penyerang muda Brighton, Evan Ferguson pada jendela perpindahan Januari, meskipun prestasinya musim ini kurang menyerlah dengan meledak satu jaringan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain berusia 20 tahun itu hanya memulakan dua perlawanan EPL musim ini dan selain Arsenal, beberapa kelab seperti Fulham dan West Ham turut berminat dengan pemain kelahiran Ireland itu.
Menurut sumber, West Ham telah mengajukan pertanyaan rasmi mengenai kemungkinan meminjam Ferguson, tetapi Brighton masih mempertimbangkan keputusan untuk melepaskan pemain berkenaan.
Skuad kendalian Mikel Arteta tidak bercadang untuk membuat pembelian besar, tetapi terbuka kepada penambahan skuad jika terdapat tawaran sesuai dan Ferguson dikatakan memenuhi kriteria Arteta sebagai penyerang muda, kuat dan pantas.
Selain Ferguson, The Gunners turut mengintai Benjamin Sesko dari RB Leipzig dan Alexander Isak dari Newcastle untuk perpindahan musim panas akan datang.
Ferguson menyertai Brighton pada 2021 dari kelab Ireland, Bohemians dan melakukan debut seniornya pada usia 16 tahun sebelum mempamerkan aksi terbaiknya pada musim 2022/23 dengan 10 gol dalam 27 penampilan di semua pertandingan.
Berdasarkan minat tinggi daripada kelab lain, mendapatkan tandatangan Ferguson dijangka menjadi cabaran buat Arsenal terutama jika Brighton menetapkan syarat perpindahan yang tinggi. – AGENSI