KUALA LUMPUR – Terkenang momen pahit anak autisme dimaki pekerja kedai manisan, komposer dan penyanyi Edry Abdul Halim berharap orang ramai lebih cakna terhadap situasi membabitkan kanak-kanak kelainan upaya (OKU).
Katanya, bukan berniat memalukan sesiapa namun kekasaran dilakukan pihak berkaitan tanpa memberi peluang kepadanya selaku bapa kepada Emery untuk memberikan penjelasan amat dikesali.
“Insiden itu dua minit tapi parut berada dalam keadaan tersebut akan berbekas sepanjang hayat disebabkan anak autisme saya dimaki kerana nak minum air.
“Tujuan saya berkongsi pengalaman tersebut bukanlah nak memalukan kakitangan atau tularkan kedai itu. Cuma nak masyarakat faham. Apa pun kerana dua botol air dan dua minit itu, kami sekeluarga berdepan memori pahit.
“Melihat seseorang kena maki macam halau anjing, apatah lagi anak istimewa, bagi saya itu bukanlah layanan yang sepatutnya buat mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis apresiasi media dan pengumuman istimewa Konsert GenKRU, kelmarin.
Edry berkata, hari yang sepatutnya mereka sekeluarga bergembira selepas meraikan hari jadi isterinya di pusat beli-belah berkenaan diakhiri dengan kenangan melukakan perasaan.
Ujarnya lagi, tiada ibu bapa ingin melihat permata hati mereka menjadi bahan kemarahan orang, tambahan pula insan istimewa seperti Emery yang tidak boleh bercakap atau mengekpresi kehendaknya melalui kata-kata walaupun sudah berusia 17 tahun.
“Masa itu saya kata ‘Emery kedai dah tutup’. Ada juga bagi ‘hint’ kepada pekerja kedai itu yang dia tak boleh cakap. Kalau tengok pun tahu dia tak macam orang normal. Individu itu berulang kali sebut ‘closed’ (tutup).
“Saya bagi tahu dia (Emery) nak tengok menu, bagi dia puas hati. Kemudian Emery meluru ke peti sejuk mengambil air. Waktu itulah pekerja terbabit jerit depan muka Emery. Dia tak marah pada saya.
“Bila dia jerit ke Emery, saya tak boleh tahan dan terpaksa tunjuk jari saya ke kepala tanda gila. Boleh dapat bayangkan tak sebagai ayah saya terpaksa kata anak saya gila agar pekerja itu faham keadaan Emery,” ujarnya.
Akui bapa kepada empat cahaya mata itu, disebabkan isu sedemikian ramai ibu bapa yang dikurniakan zuriat istimewa memilih tidak membawa anak mereka keluar.
Bahkan bukan mahu membandingkan, penerimaan masyarakat luar termasuk di United Kingdom terhadap golongan terbabit sangat berbeza.
“Entah berapa kali nak minta maaf kerana saya mahu anak istimewa saya hidup macam orang biasa pergi kedai dan minum air. Saya mohon kalau nampak golongan istimewa ini berilah mereka ruang sikit.
“Berbeza di luar negara, ketika saya dan isteri naik tram di Manchester, Emery buat perangai sampai kami terpaksa tarik tangannya tetapi ada seorang pakcik datang dan marah jangan berkasar dengan anak kami itu,” katanya.
Terdahulu, Edry memuat naik video di Instagram memohon orang ramai memberi ruang untuk golongan istimewa menikmati kehidupan normal kerana ada kala mereka bertindak di luar kawalan tanpa mengetahui apa dilakukan sebenarnya salah.
Selain Emery, mendirikan rumah tangga bersama Milia Mohammed pada November 1999 dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Emil, 24; Edylia, 21; dan Elya, 14.
Dia dan isteri memilih membawa keluarga mereka berhijrah di Manchester sejak 2018 demi mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak istimewa mereka. – KOSMO! ONLINE