PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menamatkan amaran hujan berterusan (waspada) yang sebelum ini dikeluarkan melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, ini berdasarkan analisis model-model cuaca yang mana ia dijangka bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di negeri-negeri tersebut.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.
“Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, MetMalaysia pada 1 Januari lalu mengeluarkan amaran hujan berterusan (waspada) yang dijangka melanda negeri-negeri di Pantai Timur dan Johor bermula 4 sehingga 6 Januari.
Kawasan di Pantai Timur termasuk seluruh Terengganu serta Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, dan Kuala Krai di Kelantan.
Di Pahang pula, kawasan yang terkesan ialah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, dan Rompin, manakala Johor membabitkan Mersing dan Kota Tinggi. – KOSMO! ONLINE