GEORGE TOWN – Agihan zakat di Pulau Pinang diberikan kepada asnaf tempatan manakala agihan zakat ke luar kawasan seperti di Palestin adalah berbentuk khusus serta berdasarkan maslahah semasa.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, umat Islam wajib membayar zakat pendapatan di negeri pendapatan diperoleh selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri.
“Dalam konteks memberikan zakat di luar kawasan seperti di Palestin dan sebagainya terdapat beberapa huraian yang perlu difahami.
“Adalah wajib membayar zakat pendapatan di negeri pendapatan diperoleh. Walau bagaimanapun, agihan zakat yang diberikan kepada luar kawasan seperti di Palestin dan sebagainya adalah berbentuk khusus dan berdasarkan maslahah semasa,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2024 telah memutuskan bahawa peniaga atau usahawan Islam yang menjalankan perniagaan di Pulau Pinang adalah diwajibkan membayar zakat perniagaan kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Katanya, begitu juga, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil. 2/2019 yang telah bersidang pada 17 September 2019 memutuskan bahawa haram memindahkan zakat ke luar negeri Pulau Pinang berdasarkan maslahah semasa kerana ia menafikan hak dan menjejaskan keperluan asnaf.
Selain itu, katanya, disebutkan di dalam kitab Fatawa al-Zakat wa al-Saqadat bahawa, jika zakat yang dikumpulkan di sesebuah negara melebihi keperluan penduduknya, maka dibenarkan untuk memindahkan zakat tersebut ke tempat lain secara sepakat, malah hukumnya menjadi wajib.
“Namun, jika masih terdapat keperluan dalam kalangan penduduk negara tersebut, tidak dibenarkan untuk memindahkan zakat ke negara lain.
“Sebaliknya, zakat hendaklah diagihkan kepada penduduk setempat. Hal ini kerana ia menjaga hak kejiranan dan memberi keutamaan kepada keperluan orang-orang yang tinggal berdekatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE