fbpx

5 cara pelik dunia rai tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGHITUNG detik secara menurun dari angka 10 hingga satu sambil menyaksikan gemerlapan percikan bunga api menjadi antara amalan tradisi di seluruh dunia setiap kali meraikan sambutan tahun baharu. Ada sebilangannya menyambut hari istimewa itu dengan insan tersayang sama ada kekasih, pasangan mahupun keluarga. Ada juga yang memilih menikmati makan lewat malam di tepi pantai bersama rakan-rakan bertemankan unggun api. Sementara itu, terdapat lima perkara pelik yang masih dilakukan sebagai simbolik meraikan sambutan tahun baharu. Perbuatan tersebut masih menjadi tradisi turun-temurun di beberapa negara sehingga ke hari ini.

 

Sepanyol: Makan 12 biji anggur

Perbuatan memakan 12 biji anggur setiap kali sambutan tahun baharu sudah menjadi tradisi masyarakat di Sepanyol.
Difahamkan mereka akan memakan sebiji anggur setiap satu jam bermula pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam.
Menurut masyarakat setempat, budaya makan 12 biji anggur dapat memberi kemakmuran dan kebahagiaan.
Ada juga yang mempercayai bahawa amalan tersebut dapat menjauhkan nasib buruk daripada seseorang.
Digelarkan sebagai las doce uvas de la suerte yang membawa maksud 12 anggur bertuah, amalan tersebut dikatakan sudah menjadi amalan turun-temurun sejak tahun 1909. Perkara itu dipercayai bermula apabila hasil tuaian anggur di negara tersebut baik dan tidak mudah rosak.

 

Ecuador: Bakar patung padi

Budaya membakar patung padi atau dipanggil scarecrow menjadi tradisi popular dalam kalangan masyarakat Ecuador.
Sebilangan masyarakat percaya bahawa amalan ini dapat membuang nasib buruk seseorang.
Menjelang tahun baharu, orang ramai mula membina patung seperti orang-orang di sawah atau dipanggil ano viejo.
Patung itu akan dibakar di atas tanah, dan seseorang perlu melompat di atas api itu sebanyak 12 kali pada tengah malam tahun baharu.

 

Ireland: Baling roti

Menyediakan hidangan lazat buat tetamu menjelang sambutan Krismas dan tahun baharu di Ireland sudah menjadi kemestian. Selain itu, mereka juga akan menyediakan sebuku roti untuk dibaling / ketuk pada pintu rumah.
Amalan ini menjadi salah satu tradisi masyarakat setempat terutamanya di kawasan pedalaman Ireland.
Mereka percaya amalan membaling dan mengetuk roti pada pintu dapat membuang nasib malang serta roh jahat daripada penghuni rumah.
Difahamkan budaya mengetuk pintu dengan roti mula dilakukan setiap kali sambutan Krismas sehingga menjelang tahun baharu.
Penghuni rumah akan menggunakan roti baharu setiap kali ingin diketuk pada pintu.

 

Denmark: Memecahkan pinggan

Tradisi memecahkan pinggan di Denmark merupakan amalan turun-temurun yang dilakukan oleh masyarakat setempat.
Perkara ini menjadi satu kewajiban masyarakat setempat saat meraikan kedatangan tahun baharu.
Mereka akan memecahkan pinggan dan mangkuk di depan pintu rumah jiran-jiran untuk membawa tuah pada tahun berikutnya.
Pinggan yang tidak digunakan sepanjang tahun akan disimpan sebelum dipecahkan pada hari terakhir pada setiap tahun.
Semuanya akan dilemparkan di depan pintu secara menimbun. Difahamkan, semakin tinggi timbunan pinggan yang dipecahkan, maka lebih banyak nasib baik akan diperoleh pada tahun akan datang.

 

Chile: Bermalam di kubur

Bermalam di kawasan tanah perkuburan merupakan satu kebiasaan bagi segelintir penduduk di Talca, Chile. Difahamkan sehingga ke hari ini, ia masih menjadi amalan penduduk setempat setiap kali sambutan tahun baharu.
Mereka akan bermalam berhampiran dengan kubur ahli keluarga yang sudah meninggal dunia. Difahamkan cara tersebut dianggap sebagai penghormatan buat ahli keluarga mereka yang sudah tiada, selain menggembirakan roh orang tersayang sempena meraikan sambutan tahun baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI