KUCHING – Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan masuk seramai 355 warga Indonesia ke negeri ini dalam sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Disember tahun lepas.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Dr. Che Ghazali Che Awang berkata mereka terdiri daripada 261 orang lelaki dan 94 orang wanita.
“Kesemua tangkapan dan pengusiran warga asing itu membabitkan rakyat dari Indonesia yang cuba menyelinap masuk ke Sarawak melalui jalan-jalan tikus di kawasan sempadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata secara keseluruhan, Briged Sarawak PGA Kuching telah melaksanakan sebanyak 287 serbuan dan 630 tangkapan serta pengusiran membabitkan rampasan barang bernilai RM83.3 juta dalam sepanjang tahun lepas. – KOSMO! ONLINE