KUALA SELANGOR – Tiada kes positif terbaharu virus jangkitan saluran pernafasan akut, Human Metapneumovirus (hMPV) direkodkan di Malaysia.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jangkitan itu bukan penyakit baharu dan tidak wajib dinotifikasikan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Kata beliau, ia merupakan salah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae.
“Berdasarkan data Makmal Kesihatan Awam dan makmal kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM), kita ada menerima sampel berkaitan hMPV sebelum ini.
“Namun, kita tiada merekodkan sebarang kes positif baharu jangkitan itu setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi benteng kolam takungan air berdekatan Taman Seri Alam, Saujana Utama, dekat sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Dzulkefly, pihaknya dalam kesiapsiagaan tinggi bagi memantau jangkitan influenza di negara ini.- KOSMO! ONLINE