fbpx

Talita bikin 1 Bukit Bintang ‘meraung’, nyanyi lagu Siti Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzahira Talita Zahra tidak dapat menahan sebak ketika mendendangkan lagu arwah ibunya, Siti Sarah Raisudin.

PETALING JAYA – Penuh emosi, anak kepada pelawak dan usahawan terkenal, Shuib, Dzahira Talita Zahra, tidak dapat menahan sebak ketika mendendangkan lagu arwah ibunya, Siti Sarah Raisudin.

Menerusi sebuah video dalam TikTok, Talita atau mesra disapa Dekta itu menyanyikan lagu Kesetiaan secara solo dalam sesi busking anjuran radio Era FM di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, nyanyiannya terhenti seketika apabila emosi mula menguasai dirinya, menyebabkan Shuib tampil memeluk dan menenangkannya.

Saat pilu itu turut menyaksikan bapa kepada arwah Siti Sarah, Raisudin Hamzah, memberi sokongan moral kepada cucunya di depan khalayak ramai.

Walaupun berada dalam keadaan emosi, Talita berjaya menyempurnakan persembahan dengan bantuan penyanyi anak saudara Biduanita Negara, Datuk Siti Nurhaliza iaitu Ummi Umairah Saiful Anuar atau Umai.

Pada akhir persembahan, Talita menyampaikan pesanan menyentuh jiwa dengan meminta semua yang hadir untuk mendoakan roh ibunya agar sentiasa tenang di sana.

Momen sedih itu meruntun hati ramai termasuk netizen yang meninggalkan pelbagai komen emosi dalam media sosial.

“Talita sangat kuat. Sebak tengok dia cuba meneruskan nyanyian walaupun nampak dia rindu sangat kepada arwah ibunya. Semoga terus kuat, Talita,” tulis seorang pengguna media sosial.

“Terbayang-bayang kemesraan Siti Sarah bersama anak-anaknya dulu. Talita mewarisi suara merdu arwah. Pasti ibunya bangga di sana,” komen seorang lagi netizen.

Sebelum ini, video Talita menyanyikan lagu Kekasih Bayangan oleh Cakra Khan bersama datuknya, Raisudin, turut tular dalam media sosial.

Dalam video tersebut Talita dilihat baring sambil dilatih datuknya, memperlihatkan bakat seni yang mengalir dalam dirinya.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah mendirikan rumah tangga dengan pelawak popular Shuib pada 2011.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 13, Dzahira Talita Zahra, 11, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan, 4.

Namun, Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI