LENGGONG – Kemunculan gajah liar yang merosakkan tanaman dan berkeliaran dekat dengan rumah penduduk di sekitar Kampung Chepor di sini menimbulkan kebimbangan mereka berhubung risiko keselamatan.
Seorang penduduk, Izwan Muhizzin Shaari berkata, kehadiran mamalia yang berani masuk hingga ke pekarangan rumah itu membuatkan dia dan keluarga ketakutan sehingga tidak dapat tidur lena.
Malah katanya, untuk tujuan keselamatan, dia terpaksa membuat ‘persediaan’ dengan menyediakan mercun bagi menghalau haiwan itu sekiranya berada terlalu hampir dengan rumah.
“Sekiranya terdengar haiwan itu bertempik, kami sekeluarga akan duduk diam tidak berbuat apa-apa tapi apabila gajah ini terlampau dekat dengan rumah, saya terpaksa baling mercun supaya haiwan itu beredar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Fudzali Chek Harun berkata, kehadiran kumpulan gajah liar di kampung berkenaan menyebabkan penduduk lebih berhati-hati setiap kali turun ke kebun. – KOSMO! ONLINE